Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Disember 12, 2010

10 SEKOLAH TERPILIH SEBAGAI SEKOLAH AMANAH

Berita Harian, 11 Disember 2010

MUHYIDDIN berbual dengan Syed Ibrahim Syed Ishak, 12,
dari Sekolah Kebangsaan Bandar Bharu Uda 2, Johor
selaku pembaca doa pembukaan majlis pelancaran Rangkaian
Sekolah Amanah Yayasan AMIR di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kementerian Pelajaran semalam melancarkan inisiatif bersama dikenali Sekolah Amanah bertujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik sekolah menerusi konsep perkongsian awam-swasta (PPP).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak 10 sekolah, masing-masing lima di Johor dan Sarawak dipilih menyertai projek perintis itu di bawah program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, SMK Gelang Patah, SK Kampong Layau, SM Sains Kuching, SMK Bandar Kuching 2, SK Tabuan, SK Empila dan SK Combine.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah terbabit terdiri daripada sekolah berprestasi lemah, sederhana dan baik serta merentasi pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

"Sekolah Amanah bukanlah sekolah elit kerana natijah akhir program ini untuk memastikan setiap sekolah dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan bantuan khususnya kewangan daripada Khazanah. Oleh itu, satu unit Sekolah Amanah sudah diwujudkan di kementerian bagi mengawal, menyelia dan memastikan objektif program dicapai selain penubuhan Yayasan AMIR di bawah Khazanah bagi mengendalikan projek perintis ini dalam tempoh lima tahun," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, menerusi program berkenaan, Khazanah akan memberi bantuan nasihat, kepakaran dan kewangan dalam usaha menaikkan lagi prestasi sekolah terbabit dan setakat ini beberapa syarikat korporat serta swasta lain menyatakan minat menyertai program terbabit.

Sementara itu, Azman berkata, Khazanah memperuntukkan RM20 juta setahun bagi melaksanakan program Sekolah Amanah itu selaras komitmennya menyokong usaha kerajaan mentransformasi sistem pendidikan. Beliau berkata, Johor dan Sarawak menjadi pilihan projek perintis kerana Khazanah banyak menjalankan projek pembangunan di selatan Semenanjung, manakala Sarawak pula kerana pihaknya mahu pembangunan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur kerana program itu akan turut dikembangkan ke Sabah.

INFO: Sekolah Amanah
 
  • Mengamalkan konsep perkongsian antara awam dan swasta seperti yang diamalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, England dan Sweden.
  • Sekolah awam akan diurus bersama oleh rakan kongsi swasta yang berkelayakan dan pengetua daripada perkhidmatan awam di bawah naungan Kementerian Pelajaran.
  • Menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada sektor awam dan swasta bagi menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih baik untuk pelajar supaya dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.
  • Berbeza dengan Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah SMART dan Sekolah Wawasan kerana ia menggunakan model pengurusan serta operasi yang berbeza iaitu berteraskan perkongsian awam-swasta.
  • Terus mengekalkan status awam tetapi lebih bebas untuk bekerjasama dengan rakan kongsi swasta berkelayakan (menerusi yayasan bukan berasaskan keuntungan) yang mempunyai kepakaran, sumber, dana dan kualiti kepimpinan bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang bersesuaian.
  • Rakan kongsi swasta boleh tergolong daripada institusi pendidikan tinggi, kumpulan alumni dan juga syarikat swasta.
  • Diberi kelonggaran bagi membuat keputusan mengenai penyampaian kurikulum, pembangunan profesional berterusan, kewangan dan pemerolehan serta pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan inovasi dan memenuhi keperluan komuniti setiap sekolah.
  • Menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam rangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan watak (kepimpinan dan kreativiti) dan kepuasan pihak yang berkepentingan iaitu pengetua, guru, ibu bapa dan pelajarTerima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Khamis, Disember 09, 2010

PERTAHAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Titah ucapan DYMM Sultan Johor ketika merasmikan Multaqa Ulama' Darul Ta'zim Tahun 2010 Masihi.


Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad semulia-mulia rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'alla kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat saya hadir bersama-sama dengan saudara-saudara sekalian pada Majlis Multaqa Ulama Darul Ta'zim yang diadakan pada hari ini.

Islam merupakan agama yang berkembang maju sesuai di semua tempat dan zaman. Oleh yang demikian, umat Islam perlu membina kekuatan melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan amalan yang soleh untuk menghadapi segala cabaran dan perkembangan zaman.

Umat Islam di Malaysia amat bertuah sekali kerana negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur. Ini membolehkan pelbagai kemudahan dan peluang untuk menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan dapat disediakan kepada masyarakat. Ditambah pula dengan sistem pentadbiran agama yang tersusun dan mantap pelaksanaannya, negara kita telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju dan dihormati.

Peranan para ulama pada zaman silam adalah begitu besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara. Golongan ulama telah memainkan peranan yang aktif berganding bahu dengan para pemimpin negara untuk menuntut kemerdekaan.

Dengan gandingan yang mantap antara ulama dan umara, maka kemerdekaan negara dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan di negara ini. Ini jelas menunjukkan bahawa, peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah mereka berperanan untuk menjaga dan mengekalkan ketuanan bangsa Melayu.

Perkara ketuanan Melayu ini saya bangkitkan kerana saya dapati pada hari ini ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksudnya yang sebenar. Ketuanan Melayu atau lebih sesuai disebut sebagai Kedaulatan Melayu adalah mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini. Ia bukan soal antara "tuan dan hamba" tetapi merujuk kepada kedaulatan di negeri-negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.

Sistem raja dan kerajaan Melayu telah wujud ratusan tahun lamanya. Sistem ini tidak pernah putus. Malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu yang kita namakan "Malaysia" pada hari ini adalah terdiri daripada Persekutuan Negeri-negeri Melayu serta Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya. Ini kerana, awal sebelum kedatangan British, sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Konsep Kedaulatan Melayu yang merangkumi kedudukan Raja-raja Melayu, Islam adalah agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan lain-lain hak, tidak pernah melihat orang lain sebagai orang luar di negara ini.

Sejak dulu lagi ketika Negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya, menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Negeri Tanah Melayu. Dan apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan. Ini kerana sudah ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, ulama boleh berperanan untuk menjelaskannya dan mempertahankan Kedaulatan Melayu dalam perlembagaan.

Sejak kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara ini, umat Islam telah mengamalkan fahaman ahli sunnah waljamaah dan mengikut Mazhab Syafie. Fahaman ini telah membawa umat Islam di rantau ini berada dalam keadaan aman, makmur, dan hidup bersatu padu. Ini kerana fahaman ini amat sederhana, diterima oleh semua pihak, mampu memenuhi keperluan semasa dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah umat Islam secara aman, harmoni dan berkesan.

Oleh yang demikian, suka saya mengingatkan saudara saudari sekalian supaya terus mempertahankan fahaman ahli sunnah wal jamaah yang kita pegang hingga ke hari ini dan terus mengamalkan ajaran Islam mengikut Mazhab Syafie sebagaimana yang telah diamalkan sejak dulu lagi.

Di samping itu juga, kita hendaklah memastikan bahawa fahaman lain yang selain daripada fahaman ahli sunnah waljamaah tidak bertapak di negeri Johor ini. Ini kerana, ia boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri dalam kalangan masyarakat umum yang akhirnya akan hanya merugikan semua pihak.

Perkembangan dan kemajuan teknologi yang begitu cepat berkembang telah menimbulkan kesan sampingan dalam masyarakat terutama sekali dalam bidang akidah, ibadah, fahaman Islam dan perpaduan ummah.

Oleh yang demikian, para ulama perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul dengan berhemah dan bijaksana. Dalam hubungan ini, saya ingin mencadangkan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama: Kerajaan negeri diminta supaya mewujudkan satu kumpulan pemikir Islam yang dianggotai pakar-pakar dari pelbagai disiplin ilmu seperti ulama, perundangan, cendekiawan, sejarahwan, sasterawan, pendidikan, penyelidikan, penulis, pemikir dan sebagainya bagi membincang dan menganalisis apa juga masalah yang berkaitan dengan masyarakat Islam serta mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang timbul dengan bijaksana dan berhemah.

Kedua: Para ulama diminta menyebarkan ilmu dan pengetahuannya melalui penulisan sama ada dalam bentuk artikel atau penulisan buku sebagaimana yang diamalkan oleh para ulama silam seperti imam Al-Ghazali Imam As-Syafie dan lain-lain lagi.

Ketiga: Supaya di negeri Johor ini diwujudkan satu pusat pemurnian akidah dan pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran Mazhab Syafie. Pusat ini juga bertanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan,mengadakan kursus dan bengkel agama, bimbingan akidah dan sebagainya.

Semoga dengan demikian, masyarakat dapat memahami dan mendalami agama Islam secara menyeluruh dan mampu untuk membuat pertimbangan serta tidak terus menjadi sebagai pak turut atau ikut-ikutan sahaja.

Tambahan lagi, dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih ini, masyarakat amat mudah terdedah kepada fahaman-fahaman lain yang sebahagiannya bercanggah dengan Islam. Saudara saudari sekalian bersempena dengan Multaqa ini, saya berharap peranan ulama dan umara dapat ditingkatkan lagi dengan lebih berkesan bagi meningkatkan pembangunan dan kemajuan Islam Negeri Johor Darul Takzim.

Akhirnya dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Multaqa Ulama" Darul Ta'zim Tahun 2010 Masihi.