Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, April 21, 2010

TUJUH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU



Petikan sebahagian titah ucapan Sultan Azlan Shah Sultan Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah, pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-82.


Sultan Azlan Shah bersama Raja Permaisuri Perak,Tuanku Bainun berangkat ke Balairong Seri di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam. Turut kelihatan,Raja Muda Perak,Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak,Tuanku Zara Salim.

Seseorang Sultan adalah batang tubuh yang diamanahkan oleh Ilahi untuk memenuhi tanggungjawab tertentu. Yang penting dipertahankan adalah institusi pemerintahan di bumi ini yang telah diwarisi sejak zaman berzaman, institusi pemerintahan yang mempunyai akar sejarah lalu menentukan rupa bentuk dan memberikan wajah kepada budaya berkerajaan dan bernegara, berpaksikan prinsip rakyat beraja – negeri bersultan.

Seseorang Raja Pemerintah itu di samping memenuhi peranan tersurat sebagai payung naungan dan lambang perpaduan kepada warga pelbagai kaum, turut mempunyai peranan secara tersirat yang perlu dilaksanakan dengan sabar lagi tabah, penuh berhikmah lagi bijaksana. Apabila negeri dilanda krisis, kearifan Raja Pemerintah sebagai penimbang tara sangat kritikal. Baginda perlu mengimbangkan secara saksama keperluan pelbagai kumpulan warga. Ia menjadi lebih rumit dalam sebuah negeri yang warganya terdiri daripada pelbagai agama, keturunan dan budaya dengan tahap pencapaian sosial dan ekonomi yang masih mempunyai jurang yang ketara.

Raja Pemerintah di bumi ini wajib melihat perspektif yang luas, menghargai salah silah sejarah negara bangsa dan bertanggungjawab tidak menderhakai Tujuh Wasiat yang telah diamanahkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja Melayu ketika memberi perkenan menurunkan tanda tangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.


Tujuh Wasiat Raja- Raja Melayu itu berbunyi :
Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera :

  • PERTAMA : Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  • KEDUA : Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kami, selain gunung- ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah lima puluh peratus, selebihnya rebutlah bersama kaum- kaum lain.
  • KETIGA : Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu, selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
  • KEEMPAT : Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
  • KELIMA : Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  • KEENAM : Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu
  • KETUJUH : Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum- kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Wasiat tersebut diamanatkan menjelang kemerdekaan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu. Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, mengekalkan kedaulatan dan kuasa serta kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja- Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi. Dengan itu, Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan dibenarkan berkuat kuasa.

Formula tersebut yang selama hari ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan. Perbuatan sedemikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama.

Tiada ulasan: