Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, April 15, 2010

SWASTA, AHLI AKADEMIK CIPTA KREATIVITI DAN INOVASI PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 15 April 2010

KUALA LUMPUR 14 April - Kerjasama pelbagai pihak terutama sektor swasta dan ahli akademik perlu untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih berinovasi dan kreatif bagi meningkatkan kualiti bidang tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha memperluaskan pendidikan berkualiti tinggi tidak hanya terletak di bahu kerajaan, sebaliknya, boleh dibantu oleh banyak pihak.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak yang boleh memainkan peranan tersebut antaranya guru, pakar akademik, universiti-universiti, para pengkaji, sektor industri dan juga pembuat dasar.

''Mereka yang terlibat ini boleh menyumbang dalam pelbagai kaedah mengikut kepakaran masing-masing. Kita harus menerapkan teknik inovatif dan kreativiti itu dalam semua perkara yang kita lakukan," katanya.


Muhyiddin berkata, guru perlu menjadi lebih inovatif dalam menyampaikan ilmu sementara pakar pendidikan perlu inovatif dalam mereka bentuk kurikulum yang dapat merangsang pemikiran kreatif pelajar. Selain itu, katanya, penglibatan pihak universiti juga dapat dibuat melalui penawaran kursus-kursus yang menepati permintaan pasaran.


Muhyiddin menegaskan, usaha tersebut selaras dengan sasaran baru kerajaan dalam sektor pendidikan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang turut menawarkan pelbagai insentif lain termasuk aspek kurikulum. Beliau berkata, kerajaan akan memberi penekanan kepada aspek kurikulum baru iaitu menerapkan elemen kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran dan pengajaran.


''Saya berharap dengan pelaksanaan kaedah terbaru seperti membuat kajian dan mencari sumber bagi subjek yang dipelajari di luar bilik darjah dan teknik pembelajaran dalam kumpulan itu, para guru akan lebih cenderung untuk memperkenalkan teknik-teknik pengajaran yang baru. ''Saya turut percaya hasil pelaksanaan kurikulum baru itu dapat dilihat menerusi keupayaan tenaga pengajarnya yang telah memperbaharui kaedah pembelajaran terkini di dalam bilik darjah,'' jelas beliau.


Muhyiddin menambah, usaha kerajaan meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di kalangan generasi muda tidak akan tercapai tanpa melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


''Semua langkah yang kerajaan perkenalkan itu khususnya kepada generasi muda adalah untuk memastikan mereka boleh bersaing,'' katanya.

Tiada ulasan: